program diet sehat beritakita

Wednesday, May 1, 2013

Pakatan janji untuk naikkan gaji penjawat awam pada Hari Buruh

PUTRAJAYA, 1 Mei — Pakatan Rakyat (PR) berjanji untuk mengubah skim gaji penjawat awam daripada bulanan kepada mingguan jika mereka mengambil alih kuasa, berpotensi memberikan bayaran lebih empat minggu, sebagai langkah untuk mendapatkan sokongan daripada 1.4 juta penjawat awam.

Penasihat PR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan ucapan Hari Buruh di sini dihadapan ribuan penyokong di tempat sama di Presint 3 dimana Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan sambutan bersejarah minggu lalu.

“Pendekatan kita ialah untuk memberi faedah dan habuan membela nasib pekerja setimpal dengan pengorbanan dan kudrat kerja mereka. Ini prinsipnya yang tidak difaham oleh rakan-rakan kita di sebelah sana,” kata Anwar kepada hadirin yang menyambutnya dengan tepukan dan laungan “Reformasi” sebelum itu.

Ikrar PR untuk penjawat awam yang digelar “Deklarasi Putrajaya 2013” diserahkan kepada Anwar oleh penulisnya Datuk Husam Musa dari PAS yang membuat percubaan untuk menawan pusat pentadbiran kerajaan itu pada pilihan raya 5 Mei.
Penjawat awam juga ditawarkan untuk mendapat pinjaman tanpa faedah bagi pembeli rumah pertama kali dan usia pencen lebih awal – 45 bagi wanita dan 50 bagi lelaki, jika PR menang Pilihan Raya 2013.

PR juga berikrar untuk mengurangkan tempoh kenaikkan pangkat dari 15 kepada 10 tahun. Kesatuan sekerja juga akan dibenarkan dan sebarang campurtangan politik terhadap perkhidmatan awam akan dihentikan.

Sebelum itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang menyumbang kepada rekod baiknya semasa di Kemeterian Pelajaran dan Kewangan akan tetapi mengeluh pekerja telah diturunkan pangkat kerana campur tangan politik dan penggunaan perunding asing.

Beliau juga mengkritik Skim Gaji Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan Januari tahun lepas. Dibatalkan selepas dua bulan, selepas dikritik kerana hanya memanfaatkan penjawat awam berpangkat tinggi dan membiarkan majoriti penjawat awam mendapat kenaikkan gaji yang sedikit.

“Ini menggambarkan sikap pimpinan Umno-BN ini selalu, dalam pertimbangan, memihak kepada golongan kaya di atas,” kata Anwar.
Di bawah skim SBPA, 36 pegawai atasan kakitangan awam akan memperoleh RM36,000 sebulan. Ketua Hakim akan memperoleh RM80,000 dan Ketua Setiausaha Negara akan mendapat RM60,000 sebulan.
Sementara bagi yang berpangkat rendah, terdapat yang hanya mendapat kenaikkan sebanyak RM1.70.

Perdana Menteri Smentara Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikkan gred gaji bagi mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam sistem saraan baru yang digelar Sistem Saraan Transformatif (SST) yang meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion sebagai ganti kepada SBPA.

“Saya ingin memberi keyakinan kepada penjawat awam, bahawa kerajaan PR akan memulihkan keyakinan berdasarkan tahap profesionalisme mereka dan 'reform civil service' (ubah perkhidmatan awam) yang boleh meningkatkan martabat mereka sebagai competent civil servants,” kata Anwar sambil diberikan sorakan oleh hadirin.

Malaysia mempunyai 1.4 juta penjawat awam. Sebanyak 80,000 tinggal di Putrajaya dengan 15,798 mendaftar sebagai pengundi. - TMI

Penjawat awam tentu sahaja tidak akan melepaskan peluang keemasan yang ditawarkan oleh PR. - Ini kalilah...

Anwar mahu Husam 'buka pintu Putrajaya'

PUTRAJAYA - Dengan semangat yang berkobar-kobar dan dilihat agak luar biasa, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru warga Putrajaya melakar sejarah membenamkan kerajaan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.

"Ini masanya untuk kita beri pengajaran kepada mereka.

"Rakyat yang akan beri mereka pelajaran, apa itu bankrap," katanya dalam perutusan khas hari pekerja, menjawab dakwaan dasar Pakatan Rakyat (PR) hanya akan memufliskan negara.

Ucapan Anwar bukan hanya menerima tepukan, laungan kata semangat penghuni Putrajaya diikuti sorakan gemuruh ribuan hadirin yang datang ke program ini.

"Tipulah macam mana pun, tapi kalau rakyat bangkit macam ini...," diikuti sekali lagi laungan "ubah" dari warga Putrajaya.
"Beri sokongan kepada calon kita, (Datuk) Husam Musa di Putrajaya," ungkap beliau lagi.

Dengan tempoh kempen yang masih berbaki empat hari sahaja lagi, Anwar dilihat menyuntik sepenuhnya iltizam kepada warga Putrajaya untuk membawa perubahan.

"Macam mana pun saya kena datang ke Putrajaya kerana kunci Putrajaya ada pada Husam," ujar Anwar lagi.

Anwar menekankan, jika peralihan kuasa berlaku, kerajaan PR akan memastikan nasib golongan penjawat awam khususnya akan terus terbela.

"50 tahun BN memerintah tidak nampak perubahan yang setimpal.

"Pendapatan mereka yang rendah itu terus mendatar. Tidak setimpal dengan pengorbanan dan kerja kuat," tambah beliau.

Malah dakwanya, di bawah pemerintah sekarang, kuasa penjawat awam juga turut terbatas.

"Masalah sekarang kuasa mereka direndahkan martabat. Ini harus diperbetulkan. Perkhidmatan mereka harus dihargai.

"Pertimbangan mereka selalu memihak kepada yang kaya sahaja," katanya.

Sementara itu, dalam Deklarasi Putrajaya untuk seluruh penjawat awam seluruh negara sempena Hari Pekerja, PR akan memperkenalkan bayaran gaji berasaskan bilangan minggu diikuti tambahan satu bulan pendapatan.

"Ia akan membolehkan penjawat awam menikmati tambahan sebulan gaji setahun atau 52 minggu setahun berbanding sistem sekarang hanya 48 minggu," deklarasi itu menyebut.

Selain itu, deklarasi turut mengandungi pinjaman perumahan tanpa faedah, pendidikan mesra penjawat awam, pencen pilihan, pertukaran dan penempatan penjawat awam berteraskan mesra keluarga dan elaun Cola tidak dipotong (RM150) bagi penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan di Putrajaya. - SH

Kakitangan kerajaan yang selama ini ditipu oleh kerajaan Umno-BN akan pastikan PR menang dalam PRU13 nanti.

Muhyiddin: Tolak PAS di Kelantan satu jihad


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Kelantan supaya berjihad dengan menolak PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana selama ini parti itu menyebabkan kemunduran kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS itu adalah kerajaan yang sangat lemah dan tidak berupaya sama sekali untuk membawa pembangunan di Kelantan walaupun telah diberi mandat memerintah sejak 23 tahun lalu.

NONE"Inilah masanya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Kelantan. Ini adalah perkara jihad yang perlu dilakukan oleh rakyat Kelantan demi menolak kemunduran dan segala kelemahan yang telah dilakukan.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika rakyat sendiri terutama rakyat Kelantan tidak membuat perubahan itu," katanya pada majlis perasmian jambatan baharu Manek Urai di Kuala Krai, hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan semua calon BN kawasan Parlimen Kuala Krai iaitu Tuan Aziz Tuan Mat (Parlimen Kuala Krai), Azizzuddin Hussein (DUN Mengkebang), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof (DUN Guchil), Che Jalal Muda (DUN Manek Urai) dan Datuk Ramzi Abdul Rahman (DUN Dabong).

Lebih 7,000 penduduk hadir pada majlis perasmian jambatan baharu berharga RM17 juta itu.

Muhyiddin berkata jika BN menang pada PRU13, Ahad ini, Mustapa adalah calon terbaik untuk dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu dan beliau mampu membawa Kelantan ke era yang lebih cemerlang.

"Saya berjanji akan berhubung dengan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) pada setiap minggu untuk bertanyakan khabar mengenai Kelantan. Kita akan tolong menyelesaikan segala masalah rakyat Kelantan.

"Ini bukan janji palsu dan ini janji yang akan kita buat kerana ini merupakan amanah kerana setiap apa yang akan kita buat nanti akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T," katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan mempunyai masa beberapa hari lagi bagi membuat keputusan dan Ahad ini merupakan hari yang terbaik buat rakyat mengubah kerajaan PAS sedia ada itu.

"Kita mahu memilih kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi dan percayalah hanya kerajaan BN yang mampu mengubah keadaan yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan PAS itu," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat Kelantan perlu memikir dengan mendalam dan menilai siapakah sebenarnya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sama ada benarkah Mursyidul Am PAS itu seorang ulama.

"Kalau sokong PAS masuk syurga itu tidak betul. Nik Aziz kata ibadat orang Umno tidak dapat pahala dan saya ingin bertanya balik, tok guru kah dia, ulama kah dia. Ayahanda saya ada pondok di Johor tidak pernah beritahu pun kata masuk Umno ini kafir. Apa beza tok guru Nik Aziz dengan Mat Yassin (bapa Muhyiddin).

"Saya hairan, ini bukan main-main, ini sesuatu perkara yang mungkar. Kalau tok guru dah menyimpang, kalau salah baca dalam solat pun kita kena tegur dan kalau sudah lama tidak betul logiknya kita kena tolak tok guru ini," katanya.

Beliau berkata adalah sesuatu yang menghairankan pemimpin PAS banyak membuat janji seperti mahu mengadakan lebuh raya yang sudah tentu tidak mungkin mampu dilaksanakan PAS.

Katanya soal membina lebuh raya itulah yang akan diperjuangkan BN apabila berjaya menguasai Kelantan dan Pusat pada PRU ini.

Mengulas mengenai jambatan baharu itu, Muhyiddin berkata ia merupakan contoh Janji Ditepati apabila kerajaan BN berjanji membinanya pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 2009.

"Alhamdulillah janji itu telah dapat kita tunaikan yang bukan sahaja kita mahu menumpukan projek pembangunan di bandar-bandar tetapi juga di kawasan luar bandar seperti ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kelantan perlu berada dalam kelompok negeri maju seiring kemajuan arus perdana dan sebab itu walaupun diperintah pembangkang, kerajaan BN tidak pernah menganaktirikan Kelantan selama ini.

"Saya sedih ada yang fitnah saya kononnya janji membina jambatan ini tidak akan terlaksana tetapi akhirnya ia menolak fitnah itu dengan siap terbinanya pada hari ini," katanya.

Jambatan sepanjang 200 meter merentangi Sungai Lebir itu mula dibina pada 2010 dan digunakan sejak seminggu lalu bagi menggantikan jambatan lama yang sempit.

Pembinaan jambatan yang mempunyai laluan dua lorong itu memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk dari Kampung Manek Urai Baru dan Kampung Manek Urai Lama.

Selain jambatan itu yang dijanjikan pada pilihan raya kecil berkenaan, kerajaan Pusat juga turut menaiktaraf Masjid Kampung Temalir yang berharga RM600,000 dan Kompleks Sukan di Kampung Manjor juga dengan kos RM600,000. - Bernama

Miskin kerana hasil buminya kau rompak. Kemudian seru jihad lantik perompak lawan parti Islam. Bawa-bawalah bertaubat Muhyidin.

(Video) DSAI GE13 Taman Medan PJS 01/05/2013

Pakatan Rakyat Guna Taktik Kotor Di Putrajaya - Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau menerima laporan parti Pakatan Rakyat menggunakan taktik kotor untuk memancing undi di kawasan Parlimen Putrajaya, termasuk menawarkan duit.

Tengku Adnan, yang mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum Ahad ini, berkata beliau menerima laporan terdapat pengundi ditawarkan RM500 dan didatangi orang tidak dikenali yang hendak mencalit dakwat di jari mereka.

"Saya baru dapat laporan ada lapan orang pergi jumpa pengundi (di flat)kawasan saya...pukul 9 dan 10 malam Isnin (kononnya) untuk buat kaji selidik.
"Ada seorang wanita ini bagi masuk rumah. Bila masuk akhirnya dia nak calit dakwat ke tangan perempuan ni, kononnya menyenangkan supaya pergi mengundi. Ini taktik kotor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pengundi India di sini malam Selasa.

Katanya beliau telah mengarahkan mereka yang telah membuat aduan itu kepadanya supaya membuat laporan polis.
Tengku Adnan juga mendakwa parti pakatan PAS-PKR-DAP juga telah menyebarkan pelbagai perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, yang mampu menimbulkan sentimen tidak baik dan menganggu penduduk Putrajaya yang tidak sukakan huru-hara dan sikap berpuak-puak.

Tengku Adnan terbabit dalam pertarungan satu lawan satu di kerusi Parlimen Putrajaya dengan calon PAS Datuk Husam Musa yang merupakan Naib Presiden PAS. Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Adnan menang kerusi itu dengan mengalahkan calon PAS Mohamad Noor Mohamad dengan majoriti 2,734 undi.
Mengenai cadangan debat antara beliau dan Husam, Tengku Adnan berkata beliau tidak berminat untuk berdebat dengan pencabarnya kerana Husam kurang arif mengenai kawasan Parlimen itu memandangkan beliau calon baharu di situ, dan tidak tahu bagaimana pusat pentabiran kerajaan persekutuan itu dibangunkan.

"Persoalannya nak berdialog pasal apa? Saya pun tak faham. Tiada masalah di Putrajaya. Kita semua selesaikan masalah dengan cara kita, tiap-tiap hari selesaikan segala masalah keperluan warga Putrajaya," katanya. - BERNAMA

Pembunuh di Putrajaya masih bebas, Adnan kata tiada masalah di Putrajaya. Pemimpin tidak berjiwa rakyat macam ini wajar ditolak.

Bapa Saiful tukar lagi, dakwa anak diliwat Anwar

Bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim sekali lagi menukar kenyataannya dengan mendakwa dakwaan liwat ke atas anaknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 benar-benar berlaku.

Azlan mengaku kejadian ke atas anaknya itu bukan konspirasi politik seperti kenyataannya beberapa bulan lalu, lapor Utusan Online.

"Mohon maaf kepada anak Saiful Bukhari. Sedar saya khianati anak sendiri. Sebagai bapa tak boleh khianati anak dan langgar sumpah.

"Saya hanya takut kepada Tuhan bukan manusia. Saya sedar sendiri dan telah lakukan kesilapan besar khianati anak sendiri," katanya seperti dalam laporan langsung akhbar itu.

Beliau seterusnya dilapor menarik balik permohonan maaf kepada Anwar sekeluarga dan mengumumkan keluar PKR serta-merta dan tidak bercadang menyertai mana-mana parti lain.

Beliau menjelaskan, tindakannya sebelum ini dibuat akibat terpengaruh dengan beberapa pihak dan tidak timbul soal ganjaran.

"Kebetulan nak pilihan raya saya tampil buat keterangan. Saya ada buat solat istikharah mohon petunjuk dan pedoman. Bersedia hadapi tohmahan orang sekeliling," katanya yang mengaku sudah insaf.

Beliau juga menegaskan, tindakannya mengadakan sidang akhbar pada hari ini atas kesedaran sendiri, keinsafan dan bukan disuruh, dipengaruhi mahupun dipujuk oleh sesiapa. - Malaysiakini

Gila apa orang tua ni.


KSN: Saiz 1.42 juta penjawat awam tepat

Jumlah penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya, bilangan itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.

"Sekarang kita guna konsep "re-deployment" atau pindahkan kakitangan daripada jabatan yang mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.

"Bagaimanapun "re-deployment" ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu tingkatkan pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara khas bertajuk "Bersama KSN" yang siarkan di TV 1 sempena dengan Hari Pekerja hari ini.

Selain itu, Ali yang menerajui perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di seluruh negara terutama menerusi konsep `turun padang' yang diperkenalkannya.

"Selain dapat maklum balas bagaimana untuk perbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan," katanya.

Ali turut meminta penjawat awam supaya bekerja dengan gigih, cepat serta berintergriti untuk memajukan negara dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi.

- Bernama

Apa pula sumbangan KSN untuk penjawat awam?